Saturday 8 December 2012

Bagaimana Pentingnya Penilaian Diagnostik Matematik Dapat Membantu Pembelajaran Murid Sekolah Rendah ?



Pengenalan
Penilaian diagnostik adalah satu bentuk penilaian penting yang membantu pembelajaran murid di sekolah rendah dengan memberikan gambaran awal tentang tahap kefahaman murid terhadap konsep matematik. Tujuan penilaian ini dibuat juga adalah untuk mengukur pencapaian pelajar, kefahaman dan pengetahuan sedia ada murid. Penilaian terhadap subjek Matematik ini sangat penting kerana Matematik adalah satu subjek yang sukar untuk dikuasai oleh murid-murid berbanding subjek bahasa. Idea saya ini juga turut disokong oleh Mok Soon Sang(1992) yang menyatakan guru dan pelajar sekolah rendah sukar untuk mengajar dan belajar matematik. Oleh sebab itu, penilaian merupakan satu keperluan untuk membantu murid dan guru dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik sekolah rendah.

Berdasarkan idea bahawa penilaian sangat penting dalam pembelajaran Matematik, maka saya telah menjalankan satu ujian saringan bagi pelajar kelas 5 Mahir di Sekolah Zainab (2) yang terdiri daripada 39 orang pelajar. Topik yang dipilih ialah topik Isipadu Cecair yang terdiri daripada soalan struktur dengan jumlah 20 soalan seperti dalam Lampiran A. Relevan saya memilih topik ini ialah melalui pemerhatian saya terhadap kertas soalan UPSR Matematik 1 dan 2 tahun-tahun sebelumnya, topik Isipadu Cecair ini merupakan satu topik penting kerana banyak soalan dari topik ini dimasukkan kedalam soalan UPSR. Melalui ujian saringan yang dibuat, saya dapati 2 orang pelajar telah mendapat markah yang rendah iaitu Nur Amney dengan 38% dan Airin Kamilia dengan 48%. Keputusan penuh ujian saringan boleh dilihat pada Lampiran A(2).

Berdasarkan kefahaman dan keyakinan saya terhadap keberkesanan penilaian diagnostik sebagai langkah membantu meningkatkan kefahaman murid-murid terhadap matematik ini, saya akan terangkan sejauh mana ianya membantu pengajaran dan pembelajaran matematik di kalangan murid sekolah rendah melalui 3 isi utama iaitu:

1. Penilaian Diagnostik meningkatkan kefahaman murid tentang konsep dan kemahiran matematik.

2. Penilaian Diagnostik membantu meningkatkan motivasi murid.

3. Penilaian Diagnostik membantu mengenalpasti kelemahan murid dan pendekatan yang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran.


Penilaian Diagnostik Meningkatkan Kefahaman Murid Tentang Konsep Dan Kemahiran Matematik.

Penilaian diagnostik meningkatkan kefahaman murid tentang konsep dan kemahiran matematik. Seperti yang kita tahu, penggunaan kemahiran asas ini sangat penting dalam pembelajaran matematik sebagai contohnya kemahiran mendarab yang merupakan satu kemahiran dan konsep asas matematik yang sangat penting dalam matematik. Hasil dapatan kajian yang dibuat oleh Mohd Zain (1984) juga membuktikan bahawa kelemahan pelajar di dalam Matematik adalah kerana pelajar tidak dapat menguasai fakta asas darab.

Hasil ujian saringan yang dibuat, saya telah mengenalpasti dua kelemahan pelajar iaitu pada penukaran unit liter dan milliliter serta soalan berbentuk ayat matematik atau penyelesaian masalah. Dari sini, saya telah merangka dan membina satu ujian diagnostik berdasarkan dua kelemahan besar pelajar dalam menguasi konsep asas menjawab soalan penukaran unit dan soalan berbentuk ayat matematik. Sebanyak 20 soalan ujian diagnostik telah saya bina seperti dalam Lampiran B yang bertujuan untuk menentusahkan kelemahan pelajar dan kenapa berlakunya salah faham konsep asas matematik tersebut. Berdasarkan ujian diagnostik ini, saya telah kenal pasti bahawa kesalahan ketara kedua-dua pelajar ini ialah kerana salah tanggap dan kurang menguasai konsep 1liter bersamaan 10000 mililiter yang menyebabkan proses penukaran unit ini menjadi sukar. Kesilapan mereka ini kerap kali berulang dan ianya boleh dilihat di dalam Lampiran B (2 & 3). Boleh dilihat, Amney dan Airin mengalami masalah yang sama dimana mereka tidak boleh menjawab soalan nombor 11 yang memerlukan mereka menukar unit dari liter kepada mililter.

Selain itu, gagal memahami soalan matematik berayat juga merupakan satu lagi kelemahan kedua-dua murid ini dimana kedua-duanya gagal menjawab soalan nombor 19 yang melibatkan soalan berayat matematik. Walaupun soalannya sangat pendek, namun kerana ditulis dalam bentuk ayat matematik, mereka jadi keliru dan gagal menjawabnya dengan betul. Kajian menunjukkan murid sekolah rendah tidak berupaya menyelesaikan masalah matematik berayat walaupun mereka menguasai kemahiran operasi secara prosedur (Mokhtar, 2010). Dari sini jelas bahawa soalan matematik berayat benar-benar sukar dan perlukan pemahaman yang tepat.

Melalui ujian diagnostik, saya telah mengetahui apa kelemahan murid saya dan kemudian telah dapat menjalankan kelas pemulihan terhadap mereka. Saya telah mengajar tentang dua konsep utama Matematik yang mereka lemah iaitu mengenai penukaran unit dan juga penyelesaian masalah berayat matematik. Selepas melakukan beberapa kali kelas pemulihan dengan menggunakan kaedah pengulangan teknik yang sama, kedua-dua pelajar telah menunjukkan peningkatan terhadap kefahaman mereka dimana kedua-dua mereka telah berjaya menjawab hampir kesemua betul dengan peratusan 98% bagi ujian kedua diagnostik.

Jadi, jelas bahawa ujian diagnostik ini membantu meningkatkan kefahaman murid terhadap pembelajaran mereka. Sekiranya ujian pemulihan pertama gagal, maka pengulangan pemulihan mengunakan kaedah pemulihan yang berbeza diperlukan. Walaupun pelbagai kaedah digunakan, tetapi fokus utamanya jelas iaitu ujian diagnostik akan menjadi kayu pengukur tahap kefahaman mereka seterusnya membuktikan peningkatan tahap kefahaman mereka dalam sesuatu topik.


Penilaian Diagnostik Membantu Meningkatkan Motivasi Murid

Motivasi bermakna sesuatu kuasa yang mendorongkan seseorang melakukan sesuatu untuk mencapai matlamat atau kejayaan (Wong, 1998). Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, motivasi dianggap satu unsur penting yang membolehkan murid-murid melibatkan diri secara aktif, disamping menjadikan proses pembelajaran itu berlangsung dalam keadaan bermakna, berfaedah dan menggembirakan (Kamarudin Hj Husin, 1993). Oleh sebab itu, motivasi perlu dititik beratkan dalam diri murid bagi memaksimakan kefahaman mereka dalam proses pembelajaran. Melalui pengalaman saya sendiri melaksanakan ujian diagnostik, saya yakin penilaian diagnostik mampu meningkatkan motivasi murid. Idea saya ini telah diperkukuhkan lagi dengan pandangan Bonwell dan Eison (1991) yang menyatakan penilaian menjadikan murid bermotivasi untuk terus belajar.

Proses pemulihan yang saya jalankan keatas 2 orang murid ini menggunakan pendekatan “main sambil belajar”. Saya telah menggunakan kaedah eksperimen dan teka-teki. Contohnya bagi kaedah eksperimen, saya telah fokuskan kepada pemahaman konsep penukaran unit dan konsep utama yang saya terapkan ialah 1000 mililiter air ialah bersamaan dengan 1 liter air. Melalui eksperimen, saya berikan mereka peluang untuk memanipulasi bahan maujud supaya mereka lebih mengingati dan memperkukuhkan ingatan mereka bagi jangka masa yang lama. Dari pemerhatian saya, dalam masa 1 jam kelas pemulihan tersebut kedua-dua murid ini telah memahami konsep bahawa 1000 mililiter ialah 1 liter dan sebaliknya. Saya dapat melihat bahawa semasa kelas pemulihan, mereka sangat teruja, seronok dan boleh gelak ketawa sambil belajar. Ini jelas membuktikan mereka seronok belajar Matematik kerana merasakan Matematik ini mudah dengan pelbagai aktiviti yang menarik. Motivasi untuk belajar sangat jelas terpancar dari raut wajah keriangan 2 murid ini dan motivasi diri yang meningkat menyebabkan mereka mudah untuk menerima setiap konsep Matematik yang sebelum ini disalah anggap atau dianggap sukar.

Jelas sekali ini membuktikan bahawa penilaian diagnostik menjadikan pembelajaran matematik lebih menyeronokkan dan yang penting dapat meningkatkan motivasi murid-murid. Perkara ini turut disokong oleh Barr, Clegg, Wallace (1981) yang menyatakan aktiviti bermain adalah bertujuan untuk keseronokkan dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama rakan dapat membina motivasi murid untuk belajar sesuatu khususnya matematik.

Semasa murid menjalani kelas pemulihan, saya telah mengajar mereka satu cara membuat “buku origami”. Di dalam buku itu saya tuliskan konsep-konsep asas yang perlu dikuasi oleh mereka bagi topik Isipadu Cecari. Proses membina buku origami itu sahaja sudah menyebabkan murid sangat terhibur dan teruja untuk belajar dan ini ditambah lagi dengan aktiviti teka-teki sesame mereka. Amney dan Airin dilihat lebih yakin untuk utarakan idea dan apa yang telah mereka pelajari. Ini menunjukkan tahap motivasi diri kedua-dua murid ini telah meningkat. Jelas sekali jika proses menghafal konsep-konsep asas seperti penukaran unit liter kepada milliliter perlu didarab dengan 1000 ini dilakukan secara tradisional, pasti murid-murid akan cepat bosan, tidak bersemangat dan mungkin tahap kefahaman mereka akan berada pada tahap yang minimum sahaja. Hal ini telah dikuatkan lagi dengan idea oleh Noraini Idris (2001) yang menyatakan interaksi antara murid dan pembelajaran aktif mempunyai kekuatan tersendiri bagi membantu murid bermotivasi untuk terus belajar.

Secara keseluruhannya, penilaian diagnostik dapat meningkatkan motivasi murid untuk terus belajar. Namun, ianya memerlukan pilihan aktiviti yang sesuai bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berjalan lancar. Selain itu, guru perlu kreatif dalam memastikan murid tidak bosan untuk melakukan sesuatu aktiviti supaya dapat meningkatkan motivasi murid untuk belajar. 


Penilaian Diagnostik Membantu Mengenalpasti Kelemahan Murid Dan Pendekatan Yang Sesuai Untuk Proses Pengajaran Dan Pembelajaran.

Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh dipilih oleh guru bagi mengajar murid-murid mereka. Namun, kepelbagaian pendekatan ini perlulah sesuai dengan kehendak dan kecenderungan murid itu sendiri. Teori Gardner (1993) pula menyatakan bahawa manusia mempunyai 8 kepelbagaian kecerdasan dan disinilah guru perlu meletakkan asas bahawa setiap murid mempunyai minat dan kecerdasan yang berbeza. Bagi mengukur dan mengenalpasti kepelbagaian kecerdasan inilah sebenarnya memerlukan penilaia diagnostik. Pada awalnya, guru boleh memilih mana-mana pendekatan untuk mengajar murid dan kemudian melaksanakan penilaian diagnostik ini lalu markahnya dicatatkan. Kemudian guru boleh mula memilih pendekatan yang pelbagai berasaskan 8 kecerdasan seperti warna, kinestetik, nombor dan sebagainya. Bahan bantu mengajar berasaskan 8 kecerdasan ini juga pasti membantu dan guru boleh mencatatkan pemerhatian serta hasil pengujian di akhir pembelajaran. Dari sini, guru akan dapat mengenalpasti kecerdasan murid seterusnya memilih pendekatan mana yang lebih sesuai untuk muridnya berdasarkan keputusan ujian diagnostik.

Selain itu, saya sangat yakin bahawa kepelbagaian teknik mengajar akan membantu pembelajaran matematik murid-murid sekolah rendah. Idea ini turut disokong oleh Thompson (1999) yang menyatakan setiap murid perlu mempunyai beberapa teknik yang diajar oleh guru supaya murid akan dapat meminimumkan kesalahan dalam penyelesaian masalah serta meningkatkan kefahaman pelajar. Melalui penilaian diagnostik, guru boleh mempelbagaikan teknik pengajaran seperti kolaboratif, interaksi berpasangan dan sebagainya. Kepelbagaian teknik ini akan dapat merangsang minat murid untuk belajar dan meningkatkan pencapaian murid secara langsung. Namun begitu, kunci kepada kejayaan pelaksanaan teknik pengajaran pelbagai ini perlulah disertai iaitu kawalan kelas yang baik. Saya akui bahawa kawalan kelas ialah satu pemangkin utama keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Sebab itu, ada yang guru mengatakan tidak kira sehebat mata bahan bantu mengajar guru, tetapi tanpa kawalan kelas yang sempurna maka sia-sialah usahanya itu. Walaubaimanapun, saya dapat simpulkan disini bahawa penilaian diagnostic bukan sahaja mampu mengenalpasti kelemahan murid, tetapi juga membantu mempelbagaikan teknik pengajaran guru bagi mengajar murid dengan lebih berkesan.


Kesimpulan

Kesimpulannya, interaksi berpasangan dapat menggalakkan murid untuk berkongsi idea, meningkatkan motivasi untuk belajar, dan merangsang pembelajaran aktif berlaku. Interaksi berpasangan ini telah membantu murid belajar dan memahami topik geometri dengan lebih berkesan lagi. Jadi, sebagai guru kita perlu sedar bahawa kepelbagaian teknik pengajaran dan pendekatan sesuai adalah penting bagi membantu pembelajaran murid.

Sejauh Manakah Proses Membuat Kaitan Dapat Meningkatkan Keberkesanan P&P Matematik Dalam Kalangan Murid Sekolah Rendah


           Terdapat banyak pandangan menyatakan bahawa proses pembelajaran matematik ini memerlukan hubung kait 4 perkara asas utama iaitu penggunaan simbol, gambar, hubungan dengan dunia sebenar dan akhir sekali ialah perkataan iaitu sama ada penulisan atau pertuturan. Melalui model hubungan dalam matematik ini jelas menunjukkan bahawa semakin banyak berlakunya hubungan atau hubung kait, maka semakin mudah pelajar untuk memahami sesuatu pembelajaran itu.
Mohamad Daud Hamzah(1996), menyatakan bahawa kanak-kanak mempelajari matematik melalui kegiatan seharian mereka ada beberapa aktiviti yang membantu kanak-kanak memperolehi konsep-konsep awal matematik iaitu aktiviti padanan, penjenisan, reguan, dan susunan aturan melalui perhubungan mereka dengan persekitaran mereka. Dari sinilah, guru-guru sepatutnya membuat kaitan antara aktiviti asas dengan proses pengajaran dan pembelajaran mereka supaya kemahiran asas seperti tambah, tolak, darab dan bahagi dapat difahami dengan lebih tepat dan mudah lagi.
Tambahan pula, matematik adalah subjek universal yang para pelajar boleh lihat di sekeliling mereka bermula dari rumah hinggalah ke mana sahaja mereka pergi. Mereka perlu ketahui semua disekeliling mereka ialah matematik yang menyeronokkan. Sebagai contohnya mengira kelopak bunga, lingkaran cengkerang dan beberapa lagi contoh di sekeliling mereka yang dilihat sangat cantik dan mudah ini ialah berasaskan nombor Fibonacci. Jadi matematik merupakan kajian dan pembelajaran tentang semua benda yang tiada batasnya dan disinilah kata kunci yang ramai guru-guru terlepas pandang dan membataskan pembelajaran matematik sekadar nombor, tambah dan tolak sahaja.
Dalam hal ini, saya akan terangkan sejauh manakah proses membuat kaitan dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran matematik dalam kalangan pelajar sekolah rendah melalui 3 isi utama iaitu:
1. Matematik dalam persekitaran dan kehidupan harian.
2. Matematik merentasi kurikulum. 
3. Hubung kait topik dengan topik lain dalam matematik.

Matematik Dalam Persekitaran Dan Kehidupan Harian
Hubung kait antara matematik dan kehidupan seharian pelajar adalah sangat jelas dan konkrit. Sebagai contohnya ialah pelajar menggunakan mental arithmetics untuk memilih makanan apa yang boleh dibeli dengan jumlah duit yang mereka ada dan mereka pelu menambah dan menolak sebelum membeli. Ini ialah matematik dan pasti mereka sendiri tidak menyedarinya. Sekiranya mereka sedar ini matematik, pasti semua pelajar beranggapan matematik itu mudah dan seronok.
Sebagai contohnya, dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang telah saya lakukan didalam kelas 4 Ikhlas untuk mengajar topik tambah perpuluhan. Saya telah mereka satu aktiviti kumpulan iaitu “ A Table of Treats” atau “Main Masak-masak” seperti permainan yang selalu mereka mainkan setiap hari namun sekarang saya kaitkan dengan matematik.
Pemerhatian yang dapat saya buat semasa proses pembelajaran ini ialah pelajar sangat seronok dan mereka mudah faham bagaimana menyelesaikan masalah tambah perpuluhan. Ini kerana selain memahami konsep, mereka dapat aplikasikan ilmu baru mereka dengan melakukan aktiviti konkrit. Idea saya ini telah di sokong teori perkembangan kognitif oleh Jean Piaget dalam buku Mok Soon Sang(2009) yang menyatakan perkembangan kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun ini berada pada tahap operasi konkrit. Pada tahap ini mereka memerlukan bahan maujud untuk dimanipulasi bagi mendapat pengalaman belajar secara langsung.
Maka disinilah kita dapat melihat bahawa membuat kaitan pembelajaran matematik dengan persekitaran pelajar dapat membantu kefahaman mereka dan meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran matematik. Proses membuat kaitan matematik dengan kehidupan harian pelajar dapat membantu membina pengalaman yang jelas dan penggunaan bahan konkrit dalam pelaksanaannya memberikan mereka kebebasan untuk belajar sendiri dengan memanipulasi bahan tersebut.
Secara jelasnya, saya dapat nyatakan bahawa pelajar akan mudah faham apa yang mereka telah pelajari jika dilakukan aktiviti praktikal dan melibatkan persekitaran mereka kerana persekitaran sangat mempengaruhi dan membantu dalam pembelajaran pelajar. 

 Matematik merentasi kurikulum
Proses membuat kaitan dalam matematik memang dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Matematik merentasi kurikulum ini merupakan antara proses membuat kaitan dalam matematik dimana topik dalam subjek lain di hubungkan dengan topik matematik.
Untuk lebih jelas, saya telah buktikannya dalam pengajaran dan pembelajaran 4 Ikhlas dimana dalam set induksi saya telah hubungkaitkan matematik dengan seni. Aktiviti yang saya telah lakukan ialah dengan mencampurkan air berwarna biru dengan warna kuning dan seterusnya menghasilkan warna hijau. Aktiviti ini bertujuan mengajar tambah dalam perpuluhan namun saya telah mereka aktiviti yang merentasi kurikulum dan dihubung kaitkan dengan seni. Pemerhatian yang dapat saya lihat ialah para pelajar sangat seronok dan mereka begitu cepat belajar mengenai topik tambah perpuluhan ini kerana aktiviti yang sangat menarik minat mereka untuk melakukan eksperimen dan menerokanya sendiri.
Selain itu, aktiviti matematik merentasi kurikulum ini saya lihat merupakan satu kesinambungan dengan konsep kecerdasan pelbagai oleh Dr. Howard Gardner(1993) yang menyatakan terdapat 8 jenis kecerdasan yang berbeza sebagai satu cara untuk mengukur potensi kecerdasan manusia. Kepelbagaian kecerdasan inilah yang perlu dikenal pasti pada pelajar supaya guru dapat memaksimakan pembelajaran pelajar ketahap optimum. Berdasarkan aktiviti mencampurkan air biru dan kuning bagi mengajar topik tambah perpuluhan merupakan satu contoh matematik dapat merentasi kurikulum serta mampu memenuhi teori kecerdasan pelbagai.
Berdasarkan 8 jenis kepelbagaian kecerdasan inilah guru-guru boleh mencipta rancangan pengajaran serta aktiviti yang pelbagai serta merentasi kurikulum supaya kita dapat mengenalpasti serta meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran matemaik terhadap para pelajar. Sekiranya setiap kecerdasan pelajar dapat dipenuhi, pasti pembelajaran matematik akan lebih mudah dan menyeronokkan pelajar. Inilah sebenarnya yang kita mahukan kerana ini secara tidak langsung juga akan memberikan motivasi intrinsik yang sangat penting kepada para pelajar untuk terus belajar dan cemerlang.
Saya dapati, idea matematik merentasi kurikulum iaitu dengan menghubungkait matematik dengan subjek lain benar-benar berjaya. Hal ini kerana selain dari pemerhatian secara langsung saya yang melihat para pelajar cepat dan mudah faham sesuatu pelajaran, saya juga dapati pelajar lebih seronok dimana mereka dapat mengkaitkan ilmu pengetahuan mereka sedia ada dalam subjek lain dengan matematik. Apabila saya tanya kenapa mereka seronok, antara jawapan yang saya perolehi ialah mereka menyatakan matematik ini rupanya mudah dan berkaitan dengan subjek yang mereka gemari seperti pendidikan seni dan pendidikan jasmani.
Pada pendapat saya, kaedah tematik ialah satu strategi pengajaran berasaskan satu idea besar atau tema yang disepakati oleh guru-guru yang mengajar sesebuah kelas itu.Contohnya, dalam minggu tersebut, tema utama yang dipilih oleh guru-guru ialah berkaitan haiwan laut. Maka, berasaskan tema haiwan laut inilah guru-guru perlu mencipta rancangan pengajaran yang menarik dan masih tetap mengikuti tema tersebut.
Pengajaran bertema ini bermakna guru-guru akan membuat pengulangan demi pengulangan berdasarkan tema yang dipilih tetapi masih tetap mengajar mengikut topik subjek masing-masing. Contoh tema yang biasa digunakan ialah seperti kehidupan haiwan laut. Jadi setiap guru yang masuk mengajar akan menggunakan contoh yang hampir sama kerana bertemakan haiwan laut. Pengulangan ini membuatkan pelajar mudah memahami sesuatu pembelajaran.
Idea saya ini telah disokong oleh Pavlov dalam Ian Thompson(2003) dalam teori behaviorisme beliau yang menyatakan pengulangan sesuatu tingkah laku dan pembelajaran membantu proses pembelajaran dan ingatan pelajar. Pengajaran tematik ini dapat membawa faedah kepada guru dan para pelajar dimana kurikulum berdasarkan pengajaran bertema adalah menarik dan pelbagai.    

Hubung Kait Antara Topik-topik Dalam Matematik
Proses menghubungkait sesuatu topik dengan topik lain dalam matematik merupakan satu perkara asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran dimana pembelajaran terbaik adalah dimulakan dengan menghubungkan pengetahuan sedia ada pelajar dengan pengetahuan baru yang akan dipelajari mereka. Contohnya ialah menghubungkaitkan idea operasi tambah yang telah dipelajari sebelum ini dengan topik baru seperti darab. Kaitan antara topik tambah dan darab ini ialah darab merupakan pengulangan proses tambah dan kaitan inilah yang perlu diajar kepada para pelajar supaya mereka dapat melihat kesinambungan pembelajaran mereka dari ilmu atau pembelajaran mereka yang lepas.
John Dewey dalam Noraini Idris(2009) juga bersetuju dengan idea menghubungkait pengalaman lepas dengan perkara baru ini dapat meningkatkan kefahaman pelajar dimana beliau menyatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan melalui pengalaman sedia ada pelajar.
Saya telah melaksanakan rancangan pengajaran yang menghubungkaitkan topik lepas dengan topik baru iaitu topik pengukuran dengan topik tambah perpuluhan. Pemerhatian yang dapat saya lihat ialah saya dapati pelajar mula berfikir dan berbincang sesama mereka bagaimana mengukur panjang setiap helaian kertas yang diberikan dan melalui itu, bagaimana pula mereka dapat mencari jumlah panjang kertas tersebut. Saya juga dapati pelajar berebut-rebut untuk menjawab dan mencuba melakukan aktiviti ini dihadapan kelas kerana bagi mereka tajuk pengukuran ini telah mereka faham dan mahir tetapi pada masa yang sama mereka tidak sedar bahawa tajuk yang sedang saya ajarkan ialah tajuk yang agak sukar iaitu penambahan perpuluhan.
Melalui aktiviti ini, tiada langsung kedengaran pelajar menyatakan bahawa topik penambahan perpuluhan adalah sukar kerana aktiviti yang saya lakukan telah saya hubungkan dengan kemahiran sedia ada mereka. Ini menjadikan pembelajaran mereka lebih mudah dan senang untuk difahami.
Pada pendapat saya, pembelajaran secara menghubungkait topik yang telah dipelajari dengan topik baru merupakan satu perkara wajib supaya selain dari memudahkan pelajar untuk memahami konsep baru, pelajar juga akan dapat melihat perhubungan dan kaitan antara ilmu yang mereka telah pelajari dengan apa yang bakal mereka pelajari hari itu. Ini bukan sahaja dapat membuka jalan kefahaman kepada mereka, malah menjadikan p&p lebih professional dan menarik perhatian pelajar.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, saya yakin bahawa proses membuat kaitan benar-benar dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran matematik dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Ini dapat dilakukan dengan menghubung kait matematik dengan subjek lain melalui kaedah tematik, membuat aktiviti dan contoh-contoh berkaitan dengan kehidupan seharian pelajar dan akhir sekali ialah menghubung kaitkan topik-topik dalam matematik itu sendiri supaya para pelajar dapat melihat 1 kesinambungan terhadap apa yang mereka telah pelajari dengan apa yang bakal mereka pelajari.


Mengajar Operasi Darab



Dalam mengajar operasi darab terlebih dahulu kita akan  melihat algoritma untuk pendaraban nombor bulat.Kita mula dengan menggunakan model-model untuk membantu menjelaskan algoritma berkaitan dan kemudian menggunakan ciri- ciri nombor bulat untuk membuktikan algoritma itu.


Membina Algoritma untuk Pendaraban


Dalam membina Algoritma untuk pendaraban, penggunaan model akan memberikan asas fizikal untuk menerangkan algoritma untuk pendaraban. Model yang digunakan ialah  blok asas-sepuluh dan model gambar untuk mewakilkan pendaraban dalam  mencari luas segiempat tepat. Menggunakan proses yang dicadangkan oleh model, kita akan bina algoritma kertas-dan-pensil untuk pendaraban. Akhirnya, kita gunakan penaakulan matematik bersama dengan ciri- ciri untuk membuktikan algoritma pendaraban.


Contoh

Cari hasil darab       215 x 74


Kaedah Pendaraban Grid (Grid Method of Multiplication)




X
200
10
5
70
14000
700
350
4
800
40
20
                14800 +  740   +  370 = 15910     

atau     

              2 1 5
       X        7 4
                 2 0
                 4 0
              8 0 0
              3 5 0
              7 0 0
           1 4 0 0
        1 5 9 1 0



Algoritma pertama berdasarkan model itu memerlukan kita mencerakinkan nombor mengikut
nilai tempat dan darabkan setiap digit mengikut nilai tempat untuk mendapatkan hasil darab
separa. Dalam algoritma ini, yang disebut expanded algorithm semua hasil darab separa
ditambah untuk mencari jumlah hasil darab. Manakala  algoritma yang kedua, yang dikenali
sebagai standard algorithm, melibatkan hanya dua hasil darab separa.