Sunday 4 November 2012

Matematik Sekolah Rendah



Kurikulum Matematik Sekolah Rendah
Pusat Perkembangan Kurikulum telah memberi garis panduan berkenaan kurikulum matemaik iaitu Kurikulum Matematik Sekolah Rendah memberi penegasan terhadap pembentukan asas ilmu matematik supaya penyemaian dan penyuburan pengetahuan, minat, sikap dan nilai estetik berjaya melahirkan generasi yang berbudaya matematik. Di samping itu kemahiran berfikir dan kemahiran belajar diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang menegaskan penguasaan konsep, proses dan bahasa matematik. Ia juga bertujuan untuk membina pemahaman murid dalam konsep nombor dan kemahiran asas mengira. Penguasaan kedua-dua aspek ini dapat membantu murid mengendalikan urusan harian secara berkesan dan penuh tanggungjawab selaras dengan hasrat masyarakat dan negara maju serta dapat membantu murid melanjutkan pelajaran. Sukatan Pelajaran matematik sekolah rendah juga menyenaraikan kandungan yang perlu dikuasai oleh murid di peringkat sekolah rendah. Kandungan tersebut diolah mengikut empat bidang pembelajaran utama iaitu Nombor, Ukuran, Bentuk dan Ruang dan Statistik. Bagi setiap bidang, tajuk-tajuk disusun secara hierarki daripada yang paling asas kepada yang abstrak.

Objektif Kurikulum Matematik
Pusat Perkembangan Kurikulum juga telah menggariskan objektif, Kurikulum Matematik Sekolah Rendah . Objektif yang dirangka adalah untuk membolehkan murid:
  1. Mengetahui serta memahami konsep, hukum, dan prinsip yang. berkaitan dengan: nombor, operasi, ruang, ukuran, perwakilan data.
  2. Menguasai kemahiran operasi asas matematik iaitu: tambah, tolak, darab, bahagi.
  3. Menguasai kemahiran operasi bergabung.
  4. Menguasai kemahiran asas matematik iaitu: membuat anggaran dan penghampiran, mengukur, mengendali data, mewakilkan maklumat dalam bentuk graf dan carta.
  5. Menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik bagi. merancang strategi menyelesaikan masalah secara berkesan dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.
  6. Menggunakan laras bahasa matematik yang betul.
  7. Menggunakan perkakasan dan perisian teknologi yang bersesuaian. untuk membina pemahaman konsep, menguasai kemahiran matematik dan menyelesaikan masalah.
  8. Mengamalkan ilmu matematik secara bersistem, heuristik, tepat . teliti.
  9. Mendapat peluang melibatkan diri dalam perkembangan dunia pendidikan matematik.
  10. Menghargai kepentingan dan keindahan matematik.